"Lagu itu boleh dinyanyikan dalam pelbagai bahasa kerana sifat lagu itu sendiri yang sangat universal. Ia boleh menjadi lagu Melayu, Cina, Perancis, Itali dan Sepanyol. Itulah yang saya anggap karya Yuna sangat hebat," katanya pada Harian Metro pada majlis 'post-party' AJL27 sejurus acara kemuncak selesai.
Sekalipun digantikan dengan penyanyi Aizat Amdan kerana Yuna tidak dapat membuat persembahan gara-gara terikat dengan komitmen tugas di Los Angeles (LA), lagu itu tetap unik apabila disampaikan penyanyi lagu Sungai Lui berkenaan. Dalam gaya lelaki Eropah persis dalam filem The Artists dan tidak kurang menganggap ia seperti Michael Buble, Aizat berjaya mengalunkan lagu itu dengan bersahaja diiringi barisan pemuzik kumpulan Paluans yang sering mengiringi Yuna.
Kerinduan terhadap Yuna, 27, hilang seketika apabila penonton melihat rakaman aksi Yuna yang memberikan ucapan dan tersenyum dalam visual di skrin LED ketika Aizat menyanyi.
Ternyata, keaslian lagu Terukir Di Bintang berjaya menawan hati barisan juri sehingga menewaskan 11 lagu lain yang bertanding pada penganjuran edisi ke-27 itu, sekali gus membolot trofi dan wang tunai RM35,000.
Ketika dihubungi Malaysia Hari Ini (MHI) iaitu pengacara Ally Iskandar secara langsung menerusi Skype dari Los Angeles (LA), pagi kelmarin (waktu Malaysia), Yuna berkata, dia dan semua petugas team Yuna Room Records sangat bersyukur dengan kemenangannya pada malam itu.
"Saya mendapat tahu kemenangan ini menerusi emak yang menelefon saya sebanyak 11 kali pagi tadi. Syukur, Alhamdulillah, lagu saya menang. Selepas persembahan, Aizat ada hubungi saya untuk beritahu kemenangan ini.
"Pada malam sebelumnya, saya sudah mendoakan yang terbaik buat Aizat dan barisan pemuzik pengiring di laman sosial Twitter. Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Aizat yang sudi menyampaikan lagu itu pada saat akhir. Saya sangat berbesar hati dengan bantuannya sekeluarga.
"Saya juga berasa terkilan kerana tidak dapat membuat persembahan pada malam AJL27 dan kemenangan ini juga tidak disangka," katanya.
Diminta komennya mengenai persembahan Aizat, kata Yuna, dia gembira kerana penyanyi itu menyampaikan lagu Terukir Di Bintang dengan sangat baik pada malam yang bertemakan Ekspresi Seni itu.
"Antara bahagian kegemaran saya ialah ketika Aizat menyanyi sambil pegang cawan. Dia dan pemuzik pengiring juga nampak gembira dan terhibur apabila di pentas. Aizat juga nampak cukup romantis.
"Saya juga ada beri sedikit sentuhan pada persembahan malam itu dengan beri sedikit 'footage' video ketika di Paris kepada Aizat. Ia konsep Melayu klasik yang ada suntikan Perancis sikit," katanya.
Mengulas lanjut mengenai kerjasamanya dengan David Foster, Yuna berkata, dia kini bernaung di bawah syarikat penerbit dan komposer terkenal dari Amerika Syarikat itu.
"Saya masih bernaung di bawah syarikat rakaman Universal. Sebenarnya, saya bukan kolaborasi dengan David, sebaliknya dia adalah bos baru saya sekarang. Album kedua saya di Amerika Syarikat juga akan keluar pada tahun ini juga," katanya.
Bagi Aizat, dia bersedia menyahut cabaran Yuna untuk menyampaikan lagu Terukir Di Bintang walaupun menjadi penyanyi gantian pada saat akhir. Aizat juga menyampaikan lagu itu dengan versi yang berbeza tapi tetap menawan hati juri dan penonton yang membanjiri stadium pada malam itu.
"Bayangkan saya hanya buat persiapan untuk menyampaikan lagu ini dalam tempoh 52 jam saja. Saya juga sudah tahu melodi lagu ini dan percaya lagu perempuan juga dekat dengan lelaki. Ia seperti saya letak coklat di atas sebuah kek.
"Konsep pegang cawan pula kerana saya teringat Cikgu Adnan Abu Hassan yang beritahu minum kopi untuk buat persembahan.
"Saya juga tidak terfikir pun untuk menang kerana saya tidak melihat ia satu pertandingan. Sebagai penyanyi dan kawan, sudah pasti, saya tumpang gembira apabila lagu ini menang kerana Yuna memang layak untuk muncul sebagai juara," katanya.
Apapun, kata Aizat, dia memang sudah lama ingin bekerjasama dengan Yuna untuk menghasilkan lagu sebelum ini.
"Yuna adalah sumber inspirasi saya. Jika nak diikutkan sudah lama saya nak buat lagu dengannya tapi dia ada komitmen yang lebih berat dan terikat di sana. Jika ada permintaan, saya juga tiada masalah untuk menyanyikan lagu Terukir Di Bintang dengan versi lelaki selepas ini," katanya.
Vokal Hafiz belum ada tandingan
Hafiz yang mengungguli dua kategori iaitu Tempat Ketiga dan Vokal Terbaik menerusi lagu Ku Akui ciptaan Ajai pula berjaya membawa pulang trofi dan wang tunai keseluruhan sebanyak RM22,000.
Walaupun pernah menang AJL termasuklah Vokal Terbaik pada tahun sebelumnya tetapi ia tidak membuatkannya tertekan.
"Setiap kali berada di pentas AJL, saya akan melihatnya sebagai cabaran baru dan berusaha melakukan yang terbaik kerana ia adalah satu amanah.
"Kemenangan lagu Ku Akui bukan saja pada kualiti vokal tetapi pada lirik yang menceritakan perjalanan anak seni. Tidak mudah orang luar nak memahami penat lelah orang seni yang bekerja tidak tentu masa termasuk kekasih sendiri. Selalu timbul salah faham dan fitnah.
"Sebagai penyanyi, saya sudah memberikan yang terbaik untuk kedua-dua persembahan pada AJL27 termasuk duet dengan Adira. Menang atau kalah perkara kedua, apa yang lebih penting, usaha untuk melaksanakan tanggungjawab itu," katanya.
Sementara itu, Black berkata, dia terpaksa akur dengan kemenangan lagu Terukir Di Bintang walaupun lagu yang pernah mencetuskan kontroversi iaitu Teman Pengganti diramalkan ramai pihak akan menang pada malam itu.
"Saya akui ramai yang ramal Teman Pengganti yang menang tetapi saya percaya mungkin yang cakap itu peminat saya. Peminat finalis lain yang bertanding pada AJL27 pun boleh ramal lagu penyanyi pilihan mereka yang menang. Saya dan RJ tetap bersyukur kerana lagu ini menang kategori Persembahan Terbaik," katanya.
Kekecewaan Black dan rakan rappernya, RJ (Rapper Jambang) sedikit sebanyak terubat apabila lagu dendangan mereka mengungguli kategori persembahan terbaik dan membawa pulang trofi dan hadiah wang tunai RM10,000.
Naib juara AJL27 dimenangi Azlan & The Typewriter pula membawa pulang trofi dan wang tunai RM15,000.
Lagu lain yang turut bertanding ialah Patah Seribu (Shila Amzah), Amir Jahari (Tanpamu), Anak Kampung (Jimmy Palikat dan One Nation Emcees), Pelangi Senja (Stacy), Andai Ku Bercinta Lagi (MOJO, Lagu (Bedroom Sanctuary) dan Simetri (Hazama & Amy Search).
AJL27 turut memperkenalkan kategori baru, Anugerah Juara Mobile X-Pax yang dimenangi lagu Ombak Rindu ciptaan Nurzaidi Rahman dendangan Hafiz dan Adira.
Barisan juri profesional yang mengadili AJL27 ialah ketua juri, komposer Azmeer, Aubrey Suwito, Helen Yap, Eddie Marzuki, Acis, Yasin Sulaiman, Ramli Sarip, Edrie Hashim, Ad Samad dan penyanyi Indonesia, Hetty Koes Endang.
Gandingan pengacara yang menceriakan majlis pada malam itu ialah Faizal Ismail dan Cheryl Samad.
Facebook Blogger Plugin: Bloggerized by Blogger Widgets Enhanced by Widgets
1 comments:
Aizad sebagai bintang musik Malaysia memang memiliki sifat positif yakni romantis, komentar juga ya di blog saya myfamilylifestyle.blogspot.com
Post a Comment