SEBELUM ini agak jarang filem mengetengahkan perihal pengorbanan seorang ayah di pawagam jika dibandingkan dengan Hollywood. Antaranya, The Pursuit of Happiness lakonan Will Smith dan anaknya, Jaden Smith, filem I Am Sam lakonan aktor hebat, Sean Penn dan Michelle Preiffer serta Mrs Doubtfire lakonan Robin Williams.
Jika ada pun di Malaysia, filem itu adalah filem Papadom arahan artis serba boleh, Afdlin Shauki. Filem yang ditayangkan pada 2009 itu mengisahkan kasih pengusaha nasi kandar, Saadom (Afdlin) terhadap anaknya, Maisara (Liyana Jasmay).
Meskipun kisah kekeluargaan sebegini jarang meraih kutipan pecah panggung, ia masih dilihat sebagai satu keperluan dari sudut tema kasih sayang dalam kekeluargaan.
Lantas, lahirlah naskhah terbaru daripada MIG Productions Sdn Bhd berjudul Papa I Love You arahan Hashim Rejab yang juga individu yang bertanggungjawab menggarap karya, Sekali Lagi, sebelum ini.
Filem yang menyentuh hati ini membariskan pelakon pelapis yang dijangka dapat menarik minat peminat wayang untuk ke pawagam.
Produser, David Teo berani membuat kelainan pada filemnya kali ini dengan mempertaruhkan Zalif Sidek sebagai teraju utama di samping Lisa Surihani dan Mia Sara Nasuha Muhammad Ridhuan (Mia), 6.
Zalif atau nama sebenar, Wan Md Zalif Naquiyudin Wan Abu Bakar Sidek, 26, mengakui ketika ditawarkan David Teo, dia seolah-olah bermimpi dan tertanya-tanya apa yang dilihat produser itu pada dirinya.
“Saya bukan lelaki yang kacak atau berbadan tegap, sebaliknya bertubuh bulat dan mungkin boleh dikatakan ‘comel-comel’.
“Bagaimanapun, saya bersyukur dengan peluang dan kepercayaan yang diberi MIG kepada saya untuk membawakan watak utama dalam filem ini yang diterima selepas tiga minggu saya selesai menjalani penggambaran filem Bini-Biniku Gangster.
“Pada permulaan pembikinan filem ini, tidak dinafikan saya agak gementar dan gugup, tetapi selepas meminta nasihat dan pandangan daripada pelakon ‘senior’ seperti Pekin Ibrahim, Zain Ruffedge dan Opie Zami, lama-kelamaan saya boleh mengatasinya.
“Demi menghayati watak sebagai seorang ayah, saya membuat kajian dengan menonton filem The Pursuit of Happiness sebagai rujukan. Di samping itu Lisa juga banyak berbincang dan memberi idea untuk mencipta keserasian di antara kami.
“Antara cabaran filem ini ketika menjayakan babak berlari dalam hujan di antara saya dan Mia. Babak ini saja mengambil masa dari jam 8 malam hingga jam 7.30 pagi keesokan harinya demi mendapatkan ‘feel’ diinginkan pengarah.
“Selain itu, adegan yang dirasakan mencabar adalah ketika saya menahan kereta yang dipandu laju sambil dalam keadaan mendukung Mia yang sedang pengsan ketika itu.
“Impian saya adalah untuk menjadi pelakon serba boleh seperti idola saya, Afdlin Shauki. Saya tidak mahu statik kepada watak tertentu saja, selepas ini harapnya produser dapat memberikan peluang kepada saya untuk membawakan watak serius pula.
“Bagi saya, filem ini adalah sebuah filem drama komedi ringan yang boleh ditonton seisi keluarga.
“Selain itu, saya juga berharap penonton dapat menilai sendiri lakonan saya dan berharap saya dapat memperbaiki lagi mutu lakonan pada masa akan datang,” katanya selepas majlis pratonton filem itu di Subang Parade, Selangor, baru-baru ini.
Dia lebih mesra disapa sebagai ‘Pooh’ saja sebelum ini pernah bekerja dengan KRU Studios sebagai Eksekutif Promosi (Media Cetak) dan pernah muncul dalam iklan komersial promosi saluran Astro First.
Sementara itu, Lisa ketika ditemui menyatakan wataknya sebagai Elly dalam filem ini tidak banyak perbezaan dengan watak-watak yang pernah dijayakannya sebelum ini.
Walaupun watak Elly yang dijayakan adalah watak pembantu, tetapi yang penting pada Lisa adalah keberkesanan lakonan diberi kepada penonton.
“Dalam apa-apa karya yang saya buat, tidak kira watak apa yang diberikan kepada kita, tujuannya adalah untuk menyentuh hati penonton melalui jalan cerita yang ingin disampaikan kepada mereka,” katanya.
Walaupun detik bahagia pelakon jelita ini semakin menghampiri Februari nanti, Lisa masih sibuk terbabit dengan penggambaran filem terbaru lakonannya berjudul Ular terbitan KRU Studios.
Selepas sesi pratonton filem itu, dapat disimpulkan ia sebuah filem kekeluargaan yang ringkas dan sederhana.
Zalif walaupun pertama kali memegang peranan utama, memberikan lakonan yang agak memberangsangkan dan jika diasah lagi boleh menjadi pelakon pelapis kepada generasi sedia ada.
Peranan yang dilakonkan Mia turut memberikan keceriaan dalam cerita ini dan sesekali ada satu dua babak yang boleh menyentuh perasaan penonton dengan elemen kasih sayang yang ditonjolkan bertalu-talu.
Sumber (Kopi Pasta): myMetro
Facebook Blogger Plugin: Bloggerized by Blogger Widgets Enhanced by Widgets
0 comments:
Post a Comment