CAMERON HIGHLANDS- Kegiatan satu sindiket pelacuran melibatkan wanita warga asing dilumpuhkan polis berikutan tertangkapnya tujuh individu termasuk ibu ayam dan dua pelanggan warga tempatan dalam dua serbuan berasingan di sekitar Tanah Rata, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Cameron Highlands, Deputi Superintendan Wan Zahari Wan Busu berkata, berdasarkan maklumat awam, pihaknya menyerbu sebuah rumah di Taman Royal Lily, Tanah Rata, Cameron Highlands kerana disyaki digunakan untuk kegiatan pelacuran.
Menurutnya, hasil serbuan kira-kira jam 11.30 malam, 31 Disember lalu, pihaknya menahan empat wanita warga asing disyaki pelacur.
“Dalam serbuan itu, kita turut menahan dua lelaki tempatan dipercayai pelanggan bagi membantu siasatan,” katanya.
Wan Zahari berkata, beberapa barangan termasuk kondom yang sudah dan belum digunakan ditemui dalam rumah tersebut turut dirampas untuk siasatan lanjut.
“Hasil siasatan awal, pihak kami berjaya menjejaki dan menahan seorang lagi wanita warga asing disyaki ibu ayam dan dalang kegiatan itu di sebuah bistro, Jalan Royal Lily di sini kira-kira jam 12.10 tengah malam, 1 Januari lalu,” katanya.
Beliau berkata, polis turut merampas wang tunai RM320 dipercayai wang hasil kegiatan pelacuran yang ditemui dalam poket seluar dipakai wanita tersebut.
“Hasil ujian air kencing ke atas wanita itu mendapati dia juga positif dadah jenis Methamphetamine,”katanya.
Wan Zahari berkata, semua suspek kini ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cameron Highlands untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 4(1) Enekmen Hiburan 1993.
Sumber (Kopi Pasta): Sinar Harian
Facebook Blogger Plugin: Bloggerized by Blogger Widgets Enhanced by Widgets
0 comments:
Post a Comment