AMPANG - Seorang penghantar barang dan seorang model sambilan dicekup berkhalwat di sebuah rumah di Taman Seraya, awal pagi semalam.
Lelaki berusia 21 tahun dan pasangannya berusia 19 tahun itu ditahan sepasukan penguat kuasa dari Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dan Masjid Al-Azim, Pandan Indah, jam 1 pagi, berdasarkan maklumat dan aduan orang awam.
Rumah itu didiami keluarga gadis berkenaan, namun keluarganya pulang ke kampung di Perak sejak Jumaat lalu kerana melawat saudara yang terlantar sakit dan kesempatan itu digunakan pasangan terbabit untuk memadu kasih.
Pegawai Masjid Al-Azim, Ahmad Nawi Osman berkata, pihaknya terpaksa menunggu kira-kira 15 minit sebelum pintu rumah itu dibuka dan gadis terbabit membenarkan anggota penguat kuasa masuk membuat pemeriksaan.
“Kami mendapati seorang lelaki berpakaian lengkap keluar dari bilik air dan terkejut dengan kehadiran kami. Gadis itu memakai baju tidur dan menutup tubuhnya dengan tuala,” katanya.
Menurutnya, hasil soal siasat mendapati pasangan itu telah terlanjur dan ibu bapa gadis berkenaan tidak tahu anak mereka membawa teman lelaki balik ke rumah dan melakukan perbuatan jijik itu.
“Operasi dijalankan mengikut Seksyen 29, Enakmen Jenayah Syariah Jais 1995. Jika sabit kesalahan, boleh didenda RM3,000 atau penjara dua tahun atau kedua-dua sekali,” katanya.
Ahmad Nawi berkata, berdasarkan rekod, pihaknya pernah menahan pasangan terbabit di Bukit Langat mengikut Seksyen 31, Enakmen Jenayah Syariah Jais 1995.
“Pasangan itu juga telah hadir ke Masjid Al-Azim untuk sesi kaunseling baru-baru ini,” katanya.
Sumber (Kopi Pasta): Sinar Harian
Facebook Blogger Plugin: Bloggerized by Blogger Widgets Enhanced by Widgets
0 comments:
Post a Comment