Abdul Azeez |
BALING: Sebuah keluarga di Kampung Baru/Surau, Mukim Bakai, Kuala Ketil, dekat sini, hidup dalam kedaifan dengan menjadikan sebuah pondok berdindingkan buluh, beratap zink dan berlantaikan tanah dialas tikar getah sebagai tempat berteduh.
Abdullah Hassan, 39, dan isterinya, Hafiza Ridzuan, 41, serta anak tunggal mereka, Mohd Akmal, 15, melalui keperitan itu akibat dihimpit kemiskinan kerana hanya bergantung kepada pendapatan suaminya yang bekerja kilang di Prai, Pulau Pinang.
Hafiza berkata, dengan pendapatan tidak seberapa, mereka tidak mampu mengumpul wang membina rumah baru berikutan ia digunakan bagi keperluan harian termasuk kos rawatannya yang menghidap penyakit kencing manis dan darah tinggi.
“Saya tidak mampu nak bantu suami menambah pendapatan keluarga kerana keadaan kesihatan tidak mengizinkan manakala gaji diperoleh suami digunakan membeli keperluan dapur dan membeli ubat manakala selebihnya untuk persekolahan anak.
“Kami teringin tinggal di rumah baru yang selesa seperti orang lain dengan kemudahan bekalan elektrik dan air, tetapi apakan daya akibat dihimpit kemiskinan maka impian itu tidak tercapai,” katanya.
Hafiza berkata demikian ketika menerima kunjungan Penyelaras Parlimen Baling, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim di rumahnya, semalam.
Turut hadir, Penyelaras Dewan Undangan Negeri (Dun) Kuala Ketil, Mohd Khairul Azhar Abdullah dan Pengerusi Biro Kebajikan Umno Baling, Noor Azman Ramli.
Katanya, akibat kesempitan hidup, dia terpaksa menghantar Mohd Akmal tinggal di asrama Sekolah Menengah Kebangsaan Bakai (SMKB) kerana rumahnya tiada kemudahan untuk anaknya mentelaah pelajaran.
“Anak saya sering merungut kerana tidak selesa belajar dengan keadaan rumah yang tidak terurus dan tidak mempunyai kemudahan untuk belajar.
“Dialah harapan keluarga walaupun kami dikurniakan seorang anak dan tidak akan mensia-siakan harapannya supaya belajar dengan bersungguh-sungguh meskipun kami tergolong dalam keluarga yang miskin,” katanya.
Sementara itu, Abdul Azeez berkata, pihaknya sudah meluluskan pembinaan sebuah rumah baru dengan peruntukan sebanyak RM16,000 bagi membolehkan keluarga itu hidup lebih selesa.
Menurutnya, ini berikutan keseluruhan struktur rumah berkenaan sudah reput dan tidak sesuai untuk keluarga terbabit.
“Saya akan menyegerakan membina sebuah rumah baru supaya keluarga itu hidup lebih selesa dengan kemudahan elektrik dan bekalan air bersih,” katanya.
Sumber (Kopi Pasta): myMetro
Facebook Blogger Plugin: Bloggerized by Blogger Widgets Enhanced by Widgets
0 comments:
Post a Comment