PUTRAJAYA - Langkah menggalakkan isi rumah mengasingkan sisa pepejal dan sisa kitar semula akan dilaksanakan September tahun depan, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Chor Chee Heung.
Beliau berkata, melalui pengasingan sisa pepejal ini, syarikat konsesi terbabit memungut sisa kitar semula sekali seminggu.
Langkah ini dilaksanakan secara berperingkat bermula di Kuala Lumpur dan Putrajaya sebelum diperluaskan ke bandar bandar besar lain, katanya selepas merasmikan Majlis Sambutan Hari Kitar Semula Kebangsaan, semalam.
“Dalam masa yang sama kita beri galakan dan melaksanakan kempen kesedaran mengenai amalan kitar semula ini dan setelah tiga atau empat tahun, apabila tahap kesedaran masyarakat sudah cukup tinggi kita akan mewajibkan semua penduduk untuk mengasingkan sisa ini dan mereka yang ingkar akan didenda,” katanya.
Chee Heung berkata, jika rakyat di negara ini dapat mempraktikkan sepenuhnya amalan mengitar semula, 40 peratus sisa organik dan sisa yang dibuang dapat dikurangkan, daripada 25,000 tan sisa dijana setiap hari.
Terdahulu, dalam ucapannya beliau berkata, daripada 166 tapak pelupusan yang beroperasi di negara ini, hanya lapan bertaraf sanitari, menjadikan selebihnya berpotensi untuk mencemarkan alam sekitar termasuk sumber alam sekitar terutama air dan udara.
Menurutnya, tapak itu juga menjadi titik panas dalam menyebarkan penyakit bawaan vektor seperti tikus dan seterusnya menjejaskan kesihatan awam.
“Oleh itu, kita sebagai rakyat yang bertanggungjawab mesti memainkan peranan menangani masalah sisa pepejal dengan mengamalkan 3R iaitu Reduce (mengurang), Reuse (guna semula) dan Recycle (mengitar semula),” katanya.
Chee Heung pada majlis sama turut melancarkan talian bebas tol aduan sisa iaitu 1-800-88-7472 (SISA) yang membolehkan pengguna dari seluruh negara, kecuali Selangor, Perak dan Pulau Pinang yang setakat ini tidak terlibat dengan pelaksanaan Akta 672 (pembersihan sisa pepejal dan pembersihan awam), membuat aduan mengenai masalah sampah, longkang atau rumput.
Sumber (Kopi Pasta): Sinar Harian
Facebook Blogger Plugin: Bloggerized by Blogger Widgets Enhanced by Widgets
0 comments:
Post a Comment