BANTING: Penduduk di Jenjarom, di sini, memohon pihak berkuasa membina bonggol khususnya di Jalan Sukepi berikutan papan tanda amaran supaya pengguna jalan raya di situ memperlahankan kenderaan tidak diendahkan.
Penduduk, Mohamad Jauhari Mohamad Syukor, 46, berkata dia hairan pengguna jalan berkenaan seolah-olah membutakan mata terhadap papan tanda amaran melarang memecut kenderaan di kawasan itu.
Menurutnya, sepatutnya pengguna lebih bertanggungjawab mengikut arahan kerana kawasan berkenaan padat dengan penduduk manakala di Jalan Sukepi itu pula berkeadaan sempit.
“Saya hairan sebab papan tanda jalan jelas memaparkan larangan pemandu memecut kenderaan tetapi ia seperti diabaikan saja. “Sikap sambil lewa itu menyumbang kepada berlakunya kemalangan jalan raya di kawasan ini,” katanya.
Kebimbangannya itu disuarakan lebih-lebih lagi berikutan jalan berkenaan sering sibuk digunakan penduduk setempat untuk ke Klang atau Shah Alam, dan sepatutnya tiada kompromi dalam soal keselamatan.
Lebih membimbangkan, katanya, di Jalan Sukepi itu juga terdapat simpang tiga yang berbahaya terutama kepada pemandu yang lalai atau pun tidak biasa menggunakan laluan berkenaan.
“Pada waktu malam atau hujan lebat, risiko semakin bertambah kerana jalan yang sempit itu gelap-gelita akibat ketiadaan lampu jalan. “Apapun saya mohon pengguna jalan raya mematuhi arahan memperlahankan kenderaan masing-masing sebab ia membabitkan keselamatan bukan saja penduduk kampung malah pengguna jalan lain,” katanya yang sudah 30 tahun menetap di Kampung Jenjarom, di sini.
Penduduk, Muhammad Jazarizal Abdul Jalil, 34, pula berkata dia nyaris dirempuh sebuah lori pikap dari arah hadapan ketika dalam perjalanan pulang dari tempat kerja pada waktu malam baru-baru ini.
“Kejadian itu berlaku sekelip mata saja dan hingga kini menjadi igauan buruk saya. Pada malam itu, saya dapat melihat sebuah kenderaan bergerak terlalu laju sehingga kelihatan terhuyung-hayang. “Mungkin permukaan laluan tidak rata menyebabkan terjadi demikian. Panik dan berdebar-debar hati saya melihat kenderaan itu terlajak dalam jarak yang begitu hampir dengan motosikal saya. “Angin daripada lori itu nyaris menyebabkan saya terhumban ke kawasan semak bersebelahan jalan namun saya bernasib baik kerana mampu mengawal kenderaan,” katanya.
Sementara itu, seorang pemandu lori, Khairul Asmadi Mohamad Awang, 28, mencadangkan agar pihak berkuasa tempatan (PBT) segera membina bonggol yang tinggi terutama berdekatan simpang tiga di situ.
Sumber (Kopi Pasta): myMetro
Facebook Blogger Plugin: Bloggerized by Blogger Widgets Enhanced by Widgets
0 comments:
Post a Comment