KAMUNTING – “Siti semakin membesar dan dia perlukan kehidupan yang lebih baik, tapi apakan daya saya tidak ada wang sebanyak itu untuk kos pembedahan wajahnya,” luah Mohd Isa Ismail, 55, bapa kepada kanak-kanak yang cacat sebahagian besar wajah sejak dilahirkan.
Siti Rohaya Mohd Isa, 10, dilahirkan buta dan cacat pada bahagian muka, namun ia tidak menjadi halangan kepada kanak-kanak ini untuk gembira seperti rakan seusianya.
Mohd Isa berkata, selama membesarkan anaknya, dia tidak menghadapi sebarang masalah.
Menurutnya, dia kini menyedari anaknya semakin meningkat dewasa selain memerlukan kedudukan wajah yang lebih baik dari sebelumnya.
“Saya mahu Siti menjalani pembedahan bagi membetulkan struktur wajahnya memandangkan dia semakin dewasa dan sudah pandai menjaga diri.
“Tetapi pembedahan ini tentu memerlukan kos yang tinggi, gaji saya tidak seberapa. Saya mungkin tak dapat menampung kos ini,” katanya ketika ditemui di rumah sewanya di Kampung Pinang, di sini.
Mohd Isa berkata, kemungkinan selepas pembedahan wajah, beberapa pembedahan lain dapat dijalankan supaya anaknya dapat menjalani kehidupan dengan lebih baik seperti orang lain.
Sementara itu, bercakap mengenai perkembangan Siti, dia berkata, kini anaknya ditempatkan di Rumah Amal St Nicholas, Pulau Pinang ketika sesi persekolahan dan akan pulang ke Taiping apabila cuti sekolah.
“Sebelum ini, Siti hanya mampu mengesot untuk bergerak tetapi sejak bersekolah, dia sudah pandai berjalan, makan dan menukar pakaian dengan sendiri.
“Namun, apabila musim cuti sekolah, saya terpaksa berhenti kerja untuk menguruskan keperluannya,” katanya.
Katanya, sepanjang dia tidak bekerja, rakannya banyak membantu memberikan keperluan untuk mereka dua beranak.
“Saya bekerja sebagai tukang rumah, tetapi apabila musim cuti sekolah, saya perlu berhenti untuk menjaga Siti.
“Siti pernah menerima bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat tetapi dihentikan kerana dia telah bersekolah di Pulau Pinang yang mana semuanya di tanggung oleh sekolah berkenaan,” katanya.
Sumber (Kopi Pasta): Sinar Harian
Facebook Blogger Plugin: Bloggerized by Blogger Widgets Enhanced by Widgets
0 comments:
Post a Comment