KAPAR - Sebuah keluarga terkilan dengan Pusat Khidmat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Dun Sementa apabila mendakwa bantuan diharapkan tidak diterima sebaliknya mereka diminta mencari bantuan melalui pihak lain.
Pesara Majlis Perbandaran Klang (MPK), Adnan Mohd Som, 73, yang koma sejak Februari tahun lalu kini hanya mampu membuka mata namun tidak mampu bergerak atau memberikan sebarang tindak balas.
Dia yang tinggal di Jalan Kenangan, Kapar terpaksa bergantung harap kepada isteri, Misnah Musliman, 63, dan empat anak yang masing-masing bekerja kampung.
Berikutan tidak mampu menanggung kos yang tinggi keluarga berkenaan melalui saudara terdekat cuba meminta bantuan melalui Pusat Khidmat PKR Dun Sementa.
Anak saudara Adnan iaitu Wati Mohd Sani, 40, berkata, melihat bebanan yang terpaksa dihadapi keluarga bapa saudaranya, dia nekad ke pusat khidmat tersebut bagi memohon bantuan seperti lampin pakai buang dan bekalan susu.
“Sebaik menemui kerani bertugas, saya diminta mengisi borang bantuan, namun saya enggan kerana telah mengisi borang sebelum ini.
“Saya ke situ dengan harapan mendapatkan bantuan barangan keperluan untuk bapa saudara, namun saya sedih apabila kerani terbabit memaklumkan tiada sebarang bentuk bantuan sedemikian rupa disediakan pusat khidmat itu,” dakwanya.
Tambah menyedihkan katanya, dia diminta kerani itu mendapatkan bantuan pihak lain.
“Pada awalnya saya ingin bertemu dengan pegawai yang bertugas namun dimaklumkan kerani itu, mereka tiada di pejabat.
“Oleh itu, dengan hati yang kecewa saya segera beredar dari situ. Beberapa hari kemudian saya memohon bantuan melalui Biro Wanita yang mewakili PKR Cabang Kapar,” luahnya kepada Sinar Harian ketika ditemui di kediaman bapa saudaranya, petang semalam.
Dalam pada itu, isteri Adnan, Misnah berkata, anak-anak juga sudah mengisi borang Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) namun hingga kini tiada jawapan.
Sinar Harian difahamkan, warga emas itu sehingga kini tidak menerima bantuan kewangan daripada mana-mana pihak.
Sementara itu, Pegawai Penyelaras Pusat Khidmat Rakyat PKR Dun Sementa, Mohd Bakir Wahab meminta keluarga Adnan tampil ke pejabatnya sekali lagi bagi menghantar permohonan.
Menurutnya, sebarang bentuk bantuan dipohon harus mengikut prosedur dengan mengisi borang.
“Sekiranya barangan atau bantuan yang dipohon kebetulan ada di pejabat, saya boleh terus menyerahkan bantuan tersebut.
“Namun jika sebaliknya, saya hanya akan serahkan bantuan tersebut dengan mengambil masa,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.
Sumber (Kopi Pasta): Sinar Harian
Facebook Blogger Plugin: Bloggerized by Blogger Widgets Enhanced by Widgets
0 comments:
Post a Comment