KEMUDAHAN...hotel murah untuk pengunjung TBS-BTS. |
KUALA LUMPUR: Pernahkah anda terfikir untuk menginap di tempat yang tidak menyediakan kemudahan bilik air? Mungkin konsep hotel atau motel jenis ini begitu asing bagi kita.
Namun, itulah kemudahan baru yang disediakan di Terminal Bersepadu Selatan-Bandar Tasik Selatan (TBS-BTS), di sini khusus untuk orang ramai tidur atau merehatkan tubuh buat seketika sebelum menaiki bas bagi perjalanan jauh.
Motel bajet yang ringkas itu disediakan oleh Southest Poineer Rest & Go (SPRG) dengan menyediakan 13 bilik dan beroperasi di dalam bangunan kompleks TBS-BTS yang serba canggih itu.
Pengurusnya, Noorizan Abd Shukor berkata, idea menyediakan motel itu diinspirasikan daripada hotel bajet yang mudah dan ringkas di luar negara.
“Seperti Jepun, permintaan terhadap percutian ringkas yang menjimatkan semakin menjadi pilihan sehingga membawa kepada kewujudan hotel bajet.
“Malah, di negara kita juga, hotel bajet berkembang begitu pantas dengan perkhidmatan hampir sama dengan hotel lain.
“Bagi memberi kelainan, kami memikirkan satu konsep yang dapat memudahkan orang ramai dan dalam masa sama menjimatkan,” katanya.
Idea itu dilihat selaras dengan pembukaan TBS-BTS sebagai terminal bas baru yang moden dan menjadi tumpuan orang ramai bermula 1 Januari lalu.
Walaupun berkonsepkan ‘rest & go’ dan tidak menyediakan bilik air seperti hotel bajet lain, bagi Noorizan ia bukan masalah utama sebaliknya menganggap konsep itu lebih relevan terutama di kawasan hub transit moden seperti di TBS-BTS.
SELESA...bilik yang disediakan sesuai bagi konsep hotel bajet di SPRG. |
Orang ramai boleh menggunakan kemudahan tandas awam di dalam terminal dan terletak tidak jauh dari motel berkenaan.
Dalam masa sama, kebersihan SPRG juga dijaga dengan baik. Ini kerana dengan tiadanya tandas, maka tiada kerja menguruskan tempat basah di dalam motel lebih-lebih lagi dengan keadaan motel yang tertutup dan berada di dalam terminal.
“Saya melihat keperluan orang ramai yang tiba di sini sekitar tengah malam dan awal pagi, mereka tiada tempat berehat sementara menunggu waktu siang dan pengangkutan awam lain seperti sistem transit aliran ringan (LRT) atau komuter mula beroperasi.
“Oleh itu, mereka boleh datang menginap di sini untuk berehat dengan selesa sebelum meneruskan perjalanan ke destinasi seterusnya,” katanya.
Walaupun tidak seperti hotel bajet lain, SPRG masih lagi mengutamakan pelanggan dengan menyediakan perkhidmatan setanding hotel terkemuka.
Dengan menggunakan tilam, katil, cadar yang berkualiti serta disusun mengikut dekorasi menarik, pemiliknya dilihat cuba memberi kepuasan pelanggan yang maksimum dengan kadar bayaran minimum.
Bayaran RM70 sehari atau RM15 sejam, motel yang beroperasi 24 jam ini mempunyai 13 bilik, terdiri daripada ‘standard room’ (memuatkan maksimum dua orang dewasa) dan ‘family room’ (dua dewasa dan dua kanak-kanak atau tiga orang dewasa).
Selain itu, motel ini turut menyediakan kemudahan kafe untuk melayari Internet, simpanan bagasi serta khidmat refleksologi.
Sumber (Kopi Pasta): myMetro
Facebook Blogger Plugin: Bloggerized by Blogger Widgets Enhanced by Widgets
0 comments:
Post a Comment