LONDON - Arsenal amat berharap krisis pertahanan yang membelenggu Gunners dapat diatasi pada perlawanan menentang Manchester United Ahad ini apabila Thomas Vermaelen kembali mengukuhkan pasukan itu.
Malah, pengurus Arsène Wenger kelmarin secara terbuka meminta para pemainnya agar segera bangkit.
Jurulatih itu mengakui bimbang dengan cara Arsenal tunduk dalam dua perlawanan Liga Perdana menentang Fulham dan Swansea City, yang sekali gus meletakkan kelab itu mencatat rekod pertahanan terburuk liga di tempat lawan.
Masalah pertahanan yang melanda Gunners cukup serius selepas lima pemain berpengalaman mereka pada posisi tersebut dibelenggu kecederaan.
Namun pendirian Wenger yang terlalu berhati-hati dalam pasaran perpindahan pemain, menyebabkan dia gagal membawa masuk pemain ke kelab tersebut.
Persembahan Johan Djourou pada pertahanan kanan menjadi punca kekalahan kepada Fulham dan tewas 2-3 kepada Swansea Ahad lepas hasil kesilapan Ignasi Miquel pada pertahanan kiri yang membiarkan benteng Gunners terdedah kepada serangan pihak lawan.
Masalah ketegangan betis menghalang Vermaelen daripada beraksi sejak Arsenal melakar kemenangan 1-0 ke atas Queens Park Rangers pada sambutan tahun baru, tetapi pemain itu kelihatan bersedia untuk memulakan latihan penuh minggu ini.
Wenger bagaimanapun lebih menyalahkan para pemainnya yang tidak mempamerkan prestasi sebenar sejak kebelakangan ini.
"Sudah dua kali iaitu di Swansea dan di Fulham yang mana kami tewas di tempat lawan.
"Pada tahap ini, ia sesuatu yang mengecewakan dan ia tidak cukup baik. Kami gagal untuk bermain dengan tenang dan membuat keputusan yang tepat.
"Ia amat membimbangkan kerana di Fulham kami berjaya mendahului 1-0 dan kemudiannya kami tewas. (Menentang Swansea) Kami bangkit untuk mengikat kedudukan 2-2 dan selepas itu, mudah memberi gol ketiga kepada lawan. Ia sesuatu yang membimbangkan," katanya.
Kekalahan 2-8 kepada Manchester United awal musim ini satu lagi memori pahit yang sukar dilupakan, tetapi Wenger berkata, pasukannya perlu melihat pertemuan menentang juara bertahan Liga Perdana, Ahad ini sebagai satu peluang yang amat penting.
"Kami telah memberi enam mata begitu sahaja kepada lawan dalam dua perlawanan, ia sukar dipercayai. Sudah tiba masanya kami bangkit dan fokus. Kami mempunyai peluang untuk berbuat demikian menentang Manchester United," ujarnya. - Agensi
Sumber (Kopi Pasta): Utusan Malaysia
Facebook Blogger Plugin: Bloggerized by Blogger Widgets Enhanced by Widgets
0 comments:
Post a Comment