Setelah pelbagai spekulasi mengenai tarikh perkahwinan mereka digembar-gemburkan, akhirnya Yusry Abd Halim dan Lisa Surihani tampil mengumumkan tarikh perkahwinan mereka dalam satu sidang media di Marriott Hotel & Spa, Putrajaya, semalam.
Malah wajah ceria Lisa yang tidak lekang dengan senyuman memberi gambaran betapa berbunga hatinya apabila keluarga Yusry menghantar rombongan bertandang ke rumah Lisa malam kelmarin bagi menyerahkan cincin tanda.Pada sidang media itu, Yusry mengumumkan akan menikahi Lisa pada 23 Februari 2012 di Masjid Tuanku Mizan, Putrajaya dan majlis penuh bermakna itu dijangka berlangsung selepas Asar. Manakala majlis resepsi diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada 26 Februari dalam satu majlis yang serba sederhana.
Lisa turut menjelaskan bahawa majlis yang berlangsung, bukanlah untuk menunjuk-nunjuk atau menggembar-gemburkan kisah mereka, sebaliknya hanya mahu berlaku adil pada semua pihak media memandangkan sebelum ini sudah berjanji akan memberitahu kepada semua pihak bila sampai masanya kelak.
"Saya dan Lisa memilih tarikh 23 Februari kerana kebetulan angka 23 sangat bermakna buat Lisa kerana Lisa lahir pada 23 Mac. Tetapi saya dan Lisa tidaklah terlalu memilih tarikh.
"Kami juga tidak merancang untuk melakukan semua momen pada tarikh 23 hari bulan. Kebetulan saya selesai menjalani penggambaran Vikingdom pada 22 hari bulan dan keluarga saya bertandang pada keesokannya.
"Secara teknikalnya, majlis bertandang itu hanyalah sebahagian adat dan budaya kita sebagai orang Melayu. Tiada majlis pertunangan akan berlangsung kerana kami mengambil keputusan untuk terus bernikah. Tetapi secara simboliknya, ia adalah tanda saya sudah 'cop' Lisa," katanya disambut deraian ketawa.
Majlis pengumuman penuh bermakna itu dihadiri kedua ibu bapa Yusry, Abdul Halim dan Zarina Fenner serta turut disertai abang Yusry, Norman Abd Halim. Turut hadir ibu Lisa, Siti Amira Ahmad.
Tidak idam wedding of the year Yusry dan Lisa bagaimanapun tidak mahu perkahwinan mereka dicanang sebagai wedding of the year kerana pasangan ini berkehendakkan hari bahagia mereka berlangsung dalam majlis penuh sederhana.
“Saya seboleh-bolehnya mahu sebuah majlis sederhana saja. Saya bukanlah seorang yang terlalu memikirkan sangat mengenai perkahwinan impian. Saya tidak cerewet dalam bab-bab majlis persandingan, kerana apa yang penting bagi saya adalah pernikahan bukan majlis persandingan gilang gemilang,” jelas Lisa.
Tambah Yusry lagi, mereka belum menetapkan sebarang tema mahupun konsep majlis resepsi mereka yang hanya mengambil masa dua bulan untuk disempurnakan itu memandangkan belum duduk semeja membincangkan urusan persediaan perkahwinan mereka lagi.
"Buat masa ini kami belum menetapkan apa-apa konsep mahupun tema perkahwinan kami. Namun kami tidak menolak andainya ada pihak yang menawarkan untuk menaja atau menjadi perunding perkahwinan kami kerana tentunya mereka lebih arif.
"Apa yang penting kami mahu perkahwinan ini diadakan seringkas mungkin dan mana tahu, kami menjadi trend setter mengadakan majlis perkahwinan yang ringkas tetapi meriah," jelas Yusry.
Bibit cinta timbul melalui BBM
Menceritakan detik-detik terbitnya bibit cinta antara dua hati ini, Lisa mengakui dia menyenangi Yusry setelah setahun berhubungan melalui Blackberry Messenger.
Katanya, sikap Yusry yang merendah diri dan tidak cuba untuk 'bermain-main' membuatkan dia menyenangi jejaka itu.
"Pada awal perhubungan, kami banyak bercapa mengenai industri dan filem. Lama-kelamaan baru kami belajar mengenali antara satu sama lain.
"Saya menyenangi Yusry kerana dia seorang yang sangat gentleman, humble, humor dan yang paling penting dia sangat jujur dalam perhubungan kami," katanya.
Malah Yusry yang kelihatan sangat gembira turut bersyukur kerana Lisa mengambil berat tentangnya dan menyayanginya sepenuh jiwa sama seperti perasaannya terhadap Lisa.
“Saya mengambil masa yang agak lama untuk membawa Lisa bertemu keluarga dan bila saya bawa dia bertemu keluarga saya, saya melihat dia seorang yang mesra dan tidak sampai setahun dia boleh sesuaikan diri dengan semua ahli keluarga saya," katanya.
Izin Lisa terus aktif
Menyentuh tentang perjalanan karier seninya selepas berkahwin, Lisa berkata, dia dan Yusry sudah berbincang mengenai perkara ini dan Yusry tidak menghalangnya untuk terus aktif sebagai pelakon selepas kahwin.
"Insya-Allah, kalau ada rezeki dan diizinkan abang (panggilan buat Yusry), saya masih lagi meneruskan kerjaya seni sebab saya suka dengan karier saya,” ujar Lisa.
Yusry juga turut menjelaskan dia menerima Lisa seadanya seperti mana sebelum berkahwin dan tidak menghalang jika Lisa mahu kekal sebagai pelakon.
Menyentuh mengenai khabar angin yang mengatakan pihak Astro telah mendapat hak penyiaran sepenuhnya untuk menyiarkan majlis persandingan mereka kelak, Yusry menyatakan yang dia tidak menafikan mahu mengesahkan berita tersebut memandangkan semuanya masih dalam perbincangan dan semua urusan tersebut diserahkan sepenuhnya kepada pihak pengurusan kedua-dua belah pihak iaitu Metrowealth International Group (MIG) dan KRU Studios.
“Mengenai hal tersebut, apa yang saya boleh katakan adalah Lisa adalah wajah eksklusif Astro, jadi sama ada majlis kami nanti disiarkan atau tidak, kami masih belum memberi sebarang keputusan dan saya menyerahkan semuanya kepada pihak pengurusan kami untuk membuat sebarang keputusan,” ujar Yusry.
Sementara itu, David Teo yang juga Ketua Pegawai Eksekutif MIG, menjelaskan kepada Zass, segala perbincangan mengenai penyiaran perkahwinan Lisa akan diadakan selepas ini.
"Sebelum ini tiada sebarang perbincangan yang dilakukan, tetapi selepas ini saya tidak menolak untuk mengadakan perbincangan. Apa yang penting, mana-mana pihak yang mendapat hak siaran itu perlu menghormati majlis Lisa dan Yusry serta keluarganya," katanya yang akan memastikan karier Lisa tetap berjalan dengan baik walaupun selepas berkahwin.
Keluarga merestui
Pada masa yang sama, ibu Yusry, Zarina Fenner turut gembira di atas keputusan Yusry untuk berkahwin dan menyifatkan momen indah ini sangat dinanti-nantikan.
Katanya, sebaik mengetahui Yusry berkawan dengan Lisa, dia kerap memujuk anak keduanya itu untuk membawa Lisa datang bertemu keluarga.
“Setiap kali saya tanya dia akan cakap, 'nanti, tunggu betul-betul pasti baru bawa'. Sehinggalah pada suatu hari Lisa datang ke rumah, saya terkejut melihatnya boleh mesra dengan setiap ahli keluarga saya, daripada yang kanak-kanak sehinggalah ke orang tua.
"Jadi bermula dari momen pertama itu saya sudah merestui andai ditakdirkan Lisa menjadi menantu dan menerimanya dengan tangan yang terbuka,” akuinya.
Malah perkara itu turut dikongsi bapa Yusry yang menyifatkan detik ini sudah lama dinanti kerana Yusry saja yang masih belum berumah tangga.
"Saya ada empat anak dan Yusry sahaja masih belum berkahwin. Saya selalu berdoa agar dia cepat dipertemukan dengan jodohnya dan Alhamdulillah doa saya dimakbulkan ALLAH SWT," katanya.
Bagi ibu Lisa pula, dia menerima dengan seikhlas hati keputusan Lisa untuk berkahwin dan menyifatkan kebahagiaan Lisa adalah kebahagiaan buat dirinya juga.
Sumber (Kopi Pasta): Sinar Harian
Facebook Blogger Plugin: Bloggerized by Blogger Widgets Enhanced by Widgets
0 comments:
Post a Comment