SHAH ALAM - Pengendali blog RuangBicaraFaisal (RBF) memutuskan untuk menamatkan kontroversi berhubung kejadian samun melibatkan pelakon dan pengacara, Wardina Safiyyah dan keluarganya, Khamis lalu dengan memohon maaf atas tulisannya baru-baru ini.
Semalam, Wardina menjemput penulis blog ruangbicarafaisal.blogspot.com itu agar menemuinya jika ingin mengetahui sama ada kejadian samun yang dilalui keluarganya minggu lalu lakonan atau pun kisah benar.
Mohd Faisal berkata, beliau tidak berhasrat untuk memanjangkan lagi isu berkenaan.
"Atas dasar menghormati nasihat seorang pemimpin besar yang sampai ke pengetahuan saya melalui khalifah-khalifahnya, maka dengan ini saya tidak berhasrat untuk memanjangkan lagi tulisan saya berhubung kes pecah rumah dan samun yang menimpa Wardina dan keluarganya," kata Faisal dalam entri terbaru di blognya.
Faisal menambah, beliau juga telah mengeluarkan tulisan-tulisannya sebelum ini berhubung persoalan-persoalan ditimbulkan.
"Tujuannya agar ia tidak terus menjadi perdebatan di ruangan komen yang boleh mengeruhkan keadaan," katanya.
Beliau menambah, "ada komen yang menyokong saya, ada komen yang menyokong Wardina. Apabila dibiarkan berterusan ia menjadi perdebatan hingga meleret-leret, dan keluarlah komen-komen yang menggunakan bahasa tidak sopan serta macam-macam cerita lain yang tidak ada kena mengena."
Beliau juga berkata, sepertimana yang dijelaskan olehnya semalam, kejadian yang menimpa Wardina benar-benar berlaku dan bukannya lakonan atau dirancang.
"Saya tamatkan isu tersebut disini dan sekali lagi saya mohon maaf kepada Wardina dan suaminya," katanya.
Laporan media semalam menyebut bahawa Wardina menjemput Faisal agar menemuinya jika ingin mengetahui sama ada kejadian samun yang berlaku terhadapnya baru-baru ini adakah lakonan atau pun kisah benar.
Bagaimanapun laporan itu menggunakan nama Exco Pergerakan Pemuda Umno itu Tun Faisal Ismail Aziz.
Wardina berkata, dia tidak mempunyai sebarang keperluan untuk menjawab persoalan yang ditimbulkan itu.
"Jika dia mahu jawapan kepada semua persoalan yang bermain di dalam mindanya sila datang berjumpa saya. Tidak ada sebab mengapa saya perlu membalas dengan menulis kenyataan saya untuk dia meletakkan jawapan saya itu di dalam blognya.
"Biarlah orang ramai sendiri yang membuat penilaian terhadap semua perkara yang ditimbulkan kerana saya sudah penat untuk bercakap mengenai hal tersebut," ujar Wardina mengulas mengenai tulisan menerusi ruangbicarafaisal.blogspot.com yang mempersoalkan kononnya dia memperbesar-besarkan kejadian rompakan yang berlaku di rumahnya semata-mata untuk menagih simpati orang ramai bagi mendapatkan publisiti.
Penulis blog itu juga mempertikaikan tindakan Wardina yang mendakwa berada dalam keadaan trauma tetapi sempat meminjam komputer milik jiran untuk menulis kejadian yang berlaku menerusi Twitter miliknya.
Sumber (Kopi Pasta): Sinar Harian
Facebook Blogger Plugin: Bloggerized by Blogger Widgets Enhanced by Widgets
0 comments:
Post a Comment