AYER KEROH - Seorang penarik kereta dijatuhi hukuman penjara lapan tahun dan empat sebatan oleh Mahkamah Seksyen, di sini, semalam, kerana menikam teman wanitanya 5 Januari lalu.
Hakim Zaharah Hussain menjatuhkan hukuman itu terhadap Azwan Azmin, 23, yang mengaku sengaja menyebabkan kecederaan parah ke atas Norzila Alismadi, 22, menggunakan sebilah pisau, yang mungkin boleh menyebabkan kematian.
Azwan melakukan perbuatan itu di belakang sebuah restoran makanan segera bersebelahan bangunan Melaka Mall, kira-kira jam 10 malam.
Dalam rayuannya, peguam Azwan, Sheikh Ikhzan Sheikh Salleh, memohon hukuman diringankan memandangkan Azwan masih muda dan tidak berfikiran matang sehingga gagal mengawal perasaan marah terhadap teman wanitanya itu.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Ifa Sirrhu Samsudin meminta mahkamah menjatuhkan hukuman berat kerana perbuatan Azwan menyebabkan mangsa cedera di usus, limpa dan buah pinggang.
“Kesalahannya serius, lebih-lebih lagi apabila pisau pemotong sayur digunakan dilihat sebagai persediaan mencederakan mangsa sebelum temu janji dibuat. Malah menurut doktor, mangsa mungkin maut jika lewat mendapatkan rawatan,” katanya.
Mengikut fakta kes, pada hari kejadian, mangsa menerima khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada Azwan untuk berjumpa di belakang restoran terbabit untuk mendapatkan semula motosikal miliknya yang dipinjam mangsa.
Ketika berjumpa, Norzila yang mahu memutuskan hubungan disoal Azwan sama ada dia menyukainya atau orang lain dan Norzila menjawab ‘memang keputusan saya’.
Marah dengan jawapan itu, Azwan menikam rusuk kiri dan perut mangsa.
Sumber (Kopi Pasta): Sinar Harian
Facebook Blogger Plugin: Bloggerized by Blogger Widgets Enhanced by Widgets
0 comments:
Post a Comment