KUALA LUMPUR - Hasrat peminat tempatan untuk menyaksikan final impian antara Datuk Lee Chong Wei dengan Lin Dan pada Terbuka Malaysia Ahad ini tidak menjadi kenyataan berikutan kekalahan jaguh China itu kepada pemain Denmark, Jan O Jorgensen semalam.
Kekalahan 21-14, 15-21, 15-21 menimbulkan persoalan sama ada dia 'sengaja' kalah demi memberi laluan kepada pemain senegara, Chen Jin untuk menambah mata kelayakan Olimpik.
Skuad badminton China sebelum ini beberapa kali dikecam kerana cuba memanipulasi sistem ranking untuk membolehkan penyertaan maksimum tiga pemain perseorangan lelaki pada Olimpik.
Peraturan Olimpik menyatakan, sesebuah kontinjen negara boleh menghantar penyertaan maksimum tiga pemain perseorangan dengan syarat semuanya berada pada ranking empat terbaik dunia.
Salah satu kontroversi yang pernah berlaku termasuk penarikan Lin Dan atas alasan 'tidak sihat' pada final Terbuka Singapura, Jun lalu, bagi memberi kemenangan percuma kepada Chen Jin.
Juara empat kali, Lin Dan sepatutnya dijadual bertemu Chen Jin pada suku akhir hari ini jika menewaskan Jorgensen semalam.
Usaha media untuk mendapatkan komen Lin Dan mengenai kekalahannya gagal, apabila dia terus ke bilik persalinan.
Pemain No.16 dunia, Jorgensen, mengakui Lin Dan tidak beraksi pada tahap terbaik tetapi menyifatkan dia menang kerana lebih cergas berbanding lawannya.
"Saya pernah berentap dengannya beberapa kali, itu bukan kehebatan sebenarnya dan dia mampu beraksi lebih hebat.
"Saya rasa dia mungkin keletihan selepas bertanding dalam banyak kejohanan sedangkan saya tidak," katanya.
Jorgensen tidak dapat menyembunyikan kegembiraan selepas mencapai kemenangan yang disifatkan terbesar dalam kariernya.
"Dapat menewaskan Lin Dan umpama 'mimpi jadi kenyataan'.
"Saya masih terkejut, memang satu situasi yang gila, memandangkan saya dapat mengembalikan sentuhan secepat ini selepas dihantui masalah jantung," ujarnya.
Sementara itu, Chong Wei mara ke suku akhir untuk bertemu sahabat karibnya, Taufik Hidayat setelah menang 21-8, 21-18 ke atas pemain Jepun, Kazushi Yamada.
Menang mudah set pertama, Chong Wei mencemaskan kira-kira 3,000 penyokong apabila ketinggalan 4-11 pada set berikutnya.
Dia bagaimanapun tenang dan bangkit untuk menafikan perlawanan diheret ke set ketiga.
"Saya hilang tumpuan pada set kedua kerana permainan diganggu angin kuat. Saya terlalu bimbang bulu tangkis keluar gelanggang, mujur ia berjaya diatasi," katanya.
Mengenai pertembungan dengan Taufik hari ini, Chong Wei menjangkakan akan menerima tentangan sengit.
"Taufik berada pada prestasi terbaik pada kejohanan ini. Dia menewaskan dua lawannya sebelum ini (termasuk menundukkan Nguyen Tien Minh 21-11,21-14 semalam) dengan mudah, ini bermakna dia bermain dengan penuh keyakinan," katanya.
Sumber (Kopi Pasta): Utusan Malaysia
Facebook Blogger Plugin: Bloggerized by Blogger Widgets Enhanced by Widgets
0 comments:
Post a Comment